Pages

Tuesday, December 28, 2010

Orang Gila yang Mendorong Para Waras Merebut syurga

Salam...
entry kali ini adalah perkongsian dari seorang sahabat.


***********Orang Gila 1***********

Dua orang gila ini, sudah banyak mengajarku tentang hidup. Di kampungku dulu, ada seorang gila yang kuat berjalan yang jauh. Dari satu pekan ke satu pekan. Dikhabarkan oleh arwah Tok Aki kepadaku, bahawa si dia ini pernah menuntut di luar negara, gila akibat disihir jirannya yang cemburu.

Lama kuperhatikan dia. Wuduknya amat sempurna, tidak setitik terbazir air pili yang ditarik cilik. Solatnya cukup rukun dan ranum, walau tiada satu lafaznya diterima Tuhan. Satu per satu kata-kata Maha Pencipta, diucap dia dengan sebutan sempurna. Lazat.

Hobinya ada dua. Satu, senyum. Dua, berjalan dari pekan ke pekan bagi melawat masjid dan surau. Mungkin dimakbul Dia akan doa ibunya, moga-moga ketidak siuman anaknya itu, mendorong para waras lain sama-sama kmerebut syurga.

Satu hari, tatkala menemani arwah Tok Aki ke kebunnya, demi menengok-nengok ladang diselesai pekerja Indonesia. Sewaktu berbual, azan mengajak kami ke rumah-Nya.

“Allahu Akbar, Allahu Akbar...”

Mereka bagai si tuli yang bertelinga, dengan parang masih berayun ke sana sini. Tidak mereka sedar nyawanya bila-bila bisa ditarik pergi.

Arwah Tok Aki melangkah beberapa tapak ke arah mereka. Membawa kopiah. Barangkali memberi isyarat supaya berehat ke musolla.

Namun, langkahnya cukup sedepa dua. Terhenti. Sosok sang gila tadi berlarian bahagia, dengan senyum gembira, tangan yang bersepahan terbuai-buai. Melalui lorong ke rumah Dia.

Seorang dari pekerja Tok Aki menghempas parang ke tanah, menjerit,

“SUDDAH... SUDDAH...”

Seorang lagi memandang pada temannya tadi. Dijungkit kepalanya tanda bertanya, kenapa. Dibalas oleh temannya dengan muncung mulut, mengunjuk pada si gila yang berlarian anak.

Tidak semena-mena, bagai ditekan suis, kesemua mereka serentak menyeluk parang pada sarung di pinggang. Ada antara mereka menuju ke motor bersalin pakaian. Ada juga antara mereka mengikat kepala dengan sapu tangan merah yang digelar key, bergaya Awie. Semuanya menuju ke tempat yang satu. Demi kiblat yang dikongsi sejak dulu-dulu.

Sedari itu, waktu kualpakan nikmat Tuhan yang cukup segala, saat kupekakkan telinga pada seru bilal menjemput kita, muncul bayang si gila di depan mata, seolah-olah menampar ke muka.

Tuhan...

Sungguh,

kuidolakan hamba-Mu yang istimewa itu.

Apatah langsung tidak terucap oleh lidahku,

segala pintaku bersalut syahdu,

agar dikurnia ini dan itu.

Kerana...

Betapa malu yang membelenggu.

Cukup kukepinginkan iman sekeras dia,

walau tidak layak kubanding dengannya.


No comments:

Post a Comment